
Terdapat tiga golongan manusia berkaitan sifat marah:
*Golongan pertama – tafrith
Golongan ini adalah golongan yang acuh tak acuh apabila menghadapi sesuatu yang mengancam kehormatan diri, agama,
keluarga, bangsa dan negara. Manusia jenis ini langsung hilang kemarahannya. Dia menghadapi segala perlanggaran yang berlaku kepada dirinya, agamanya, keluarganya, bangsanya dan negaranya dengan penuh kebaculan dan rendah diri. Sedangkan Rasulullah yang terkenal dengan sifat tawaduknya tetap mempertahankan Islam dengan menentang musuh-musuh Islam sekiranya perlu.
Firman Allah:
Muhammad adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersama dengan dia bersikap keras terhadap orang-orang kafir (yang memusuhi Islam), tetapi berkasih-sayang sesama mereka….(surah Al-Fath :29)
Jelas di sini bahawa sifat tafrith atau hilang sifat marah adalah tercela di sisi syarak.
*Golongan kedua- ifrath
Golongan ini adalah manusia yang tidak dapat mengawal sifat marahnya lalu berlebih-lebihan dalam marahnya sehingga hilang pengawalan akal yang waras terhadap dirinya. Manusia seperti ini bertindak mengikut hawa nafsu.
Segala caci maki dan amukan dihamburkan sehingga ada kalanya membawa kepada pertumpahan darah. Marah yang tidak dikawal juga membawa kepada sifat dendam, dengki dan benci sehingga mendorongnya melakukan pembalasan kepada orang yang dimarahinya.
Disebabkan buruknya implikasi sifat marah yang melulu ini maka Rasulullah s.a.w. amat menitikberatkan agar perasaan itu dikawal dengan baik. Apabila seorang sahabat meminta nasihat daripada Baginda s.a.w, lantas Baginda bersabda:
Jangan marah. Kemudian sahabat tersebut mengulangi permintaannya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi baginda menjawab: Jangan marah. (Sahih al-Bukhari).
Di antara cara mengawal perasaan marah sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. adalah :
1. Mengucapkan Taawudz (A’udzu billahi minasy syaithoonir rajeem – Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk). Ini adalah kerana perasaan marah itu timbul dari hasutan syaitan.
2. Diam atau tidak berbicara.
3. Jika semasa timbul perasaan marah itu seseorang itu sedang berdiri maka hendaklah dia duduk. Jika tidak reda juga maka hendaklah dia baring.
4. Berwuduk kerana air wuduk itu dapat menenangkan jiwa yang sedang marah.
*Golongan ketiga-I’tidal
Golongan ini adalah yang terbaik berbanding golongan tafrith dan ifrath. Golongan ini adalah golongan yang menggunakan sifat marah mereka pada saluran dan situasi yang betul. Apabila marah, mereka marah sebagaimana sepatutnya dan sentiasa dalam kawalan dan ikut landasan yang Allah tetapkan.
Di antara sifat Rasulullah s.a.w. ialah Baginda tidak menunjukkan kemarahan dan tidak melakukan pembalasan hanya kerana kepentingan peribadinya. Segala kemarahannya adalah kerana mempertahankan hukum-hukum Allah.
Saidatina Aisyah r.a. telah meriwayatkan bahawa: Dan tidaklah baginda membalas dengan hukuman untuk (membela) dirinya di dalam sesuatu sama sekali kecuali jika perkara-perkara yang diharamkan Allah dilanggar, maka baginda akan membalas dengan hukuman terhadap perkara itu kerana Allah. (Riwayat Bukhari)
Dapat kita simpulkan bahawa golongan yang ketiga(I’tidal) adalah golongan yang terbaik. Marah tetapi tidak berlebihan marahnya. Yang paling penting, marahnya adalah kerana Allah dalam mempertahankan deen Allah yang suci. Marilah kita bersungguh-sungguh dalam mengamalkan sifat marah yang I’tidal ini.
Akhir kata, apabila parut lukamu dicederakan lagi, hatimu dicakari kebimbangan, ingatlah bahawa DIA sentiasa bersama-sama orang yang sabar. Wallahu ‘alam. Semoga kita sentiasa berada dalam keredhaan-NYA. Insya allah.
No comments:
Post a Comment