Saturday 17 March 2012

Pemergian Ibrahim Bachik kehilangan besar dunia seni



IBRAHIM sebati dengan dunia vokal.
MESKIPUN sudah bersara lebih 17 tahun sebagai penerbit muzik bersama Orkestra RTM, namun komposer veteran, Datuk Ibrahim Bachik, 73, pernah berkata, tidak bermakna seseorang itu tidak dapat menyumbang sesuatu dalam bidang yang diminatinya.
Justeru, minatnya diteruskan dalam tempoh terbabit sebagai guru vokal di sebuah sekolah muzik di ibu negara, serta menganjurkan kelas nyanyian hingga akhir hayatnya.
Semalam, komposer, pemuzik dan pelakon itu pulang ke rahmatullah, dan pemergiannya dianggap kehilangan besar buat industri muzik tanah air.
Pernah menerima anugerah Muzik Tema Berkesan, Festival Filem Malaysia ke-4 menerusi filem Bila Hati Telah Retak, arwah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Selasa lalu akibat penyakit asma, radang paru-paru dan tekanan darah rendah.
Arwah menghembuskan nafas terakhirnya jam 5.16 pagi semalam di sisi isteri dan anak-anaknya. Jenazahnya dibawa pulang ke kampung halamannya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selandar, Jasin, Melaka, selepas solat Zuhur, semalam.
Beliau meninggalkan tiga anak, Nora, Rozita dan Muhammad Syukor.
Dunia vokal sudah sebati dengannya. Selain menjadi guru vokal, beliau juga mencipta serta menggubah lagu puisi dan komersial.
Lagu puisi yang mengangkat namanya termasuk Kekasih nyanyian Kumpulan Kopratasa dan Berkolek Bersajak karya JM Aziz. Lagu puisi awal yang dicipta Ibrahim ialah Senyum, berdasarkan puisi kawan rapatnya, Atondra, pada 1968. Selain itu, beliau juga menggubah lagu Bicara Dengan Teman Lama berdasarkan puisi karya tokoh wartawan, Tan Sri Samad Ismail, di samping lagu daripada puisi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berjudul Melayu Mudah Lupa yang dinyanyikan kumpulan Ibraba.
Beliau menganggap vokal ialah aset sangat besar. Katanya: “Walaupun seseorang itu tidak memiliki wajah yang tampan atau cantik, namun kerana vokal yang baik, mereka akan disanjungi”.
Katanya lagi, penyanyi yang mempunyai vokal baik dan mengetahui seni muzik biasanya mempunyai ketahanan yang lebih. Hal seperti ini banyak ditekankan oleh penyanyi Barat dan kerana itu mereka mampu bertahan dalam dunia seni.
Bagaimanapun beliau yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) bersyukur kerana ilmu yang dipelajari daripada guru vokal terkenal, Zuber Said, di Singapura dapat disebarkan kepada mereka yang meminati bidang vokal sehingga hari ini.
Selain menceburi bidang muzik, Ibrahim turut pernah membintangi filem seperti Gerak Kilat sebagai pelakon pembantu pada 1966. Begitupun sumbangan beliau dalam bidang perfileman lebih kepada penghasilan muzik dan kesan bunyi. Antara filem yang mendapat sentuhannya seperti Panas (1998), Bila Hati Telah Retak (1983), Cikgu Sayang (1983) dan Tuan Badul (1979).

No comments:

Post a Comment